|
LEBAH MADU
Pembina Sarang Yang Sempurna
        
Kamu semua telah sedia tahu tentang lebah madu. Mungkin kebanyakan daripada
kamu pernah melihatnya di dalam cerita kartun di TV, atau, mungkin dalam
kehidupan sebenar, berdesing-desing di merata tempat. Tetapi saya yakin
ada banyak juga yang kamu tidak tahu tentang mereka...
Tidak berapa lama dahulu, ibu, ayah dan saya telah pergi ke hutan untuk
berjoging. Saya gembira di sana. Tetapi yang paling menggembirakan saya
ialah seorang sahabat baru yang saya temui ketika kami beristirahat. Ia
sangat kecil, tetapi ia amat bermakna kepada saya. Saya tidak akan melupakan
sahabat kecil saya ini.
Sudah tentu kamu tertanya-tanya siapakah dia? Sebenarnya, ia adalah seekor
lebah madu yang riang. Ia datang kepada saya dan terbang mengelilingi
saya untuk seketika. Mulanya, saya merasa takut disengat kerana ia terlalu
hampir... Saya menjerit: "Jangan! Tolong jangan sengat saya. Saya tidak
mahu dicederakan!". Dan kemudian sesuatu yang aneh berlaku, apabila lebah
itu mula bercakap dengan saya.
Si Lebah Madu: Saya tidak mahu menyengat
kamu. Saya hanya mahu berkawan dengan kamu.
Omar: Betulkan? Saya sangat berbesar hati
mendengarnya.
Si Lebah Madu: Biar saya memperkenalkan
diri saya. Saya adalah seekor lebah pekerja. Saya tinggal di dalam batang
pokok, bersama dengan beribu-ribu sahabat-sahabat saya.
Omar: Wah! Kamu mempunyai sahabat-sahabat
yang sangat ramai!... Bagaimana kamu dan sahabat-sahabat kamu meluangkan
masa kamu?
Si Lebah Madu: Kami membersihkan sarang
kami, mengumpulkan makanan dan membawanya ke sarang, menghasilkan jeli
diraja, memanaskan sarang dan mengawalnya...
Omar: Tidakkah kamu merasa letih melakukan
semua perkara-perkara tersebut?
Si Lebah Madu: Tidak. Kami lebah-lebah pekerja
membahagikan tugas-tugas di dalam sarang di kalangan kami. Kerana itulah
kami tidak pernah merasa letih. Contohnya, hari ini saya membina indung-indung
madu untuk menyimpan madu...
Omar: Ada satu benda tentang lebah yang
sering menyebabkan saya tertanya-tanya; bagaimana kamu dilahirkan?
Semua lebah madu di dalam sarang melakukan
tugas-tugas yang berbeza. Sebahagian mengumpulkan makanan sementara
yang lain pula membersihkan sarang atau menghasilkan madu
|
Si Lebah Madu: Mungkin kamu pernah mendengar
bahawa terdapat seorang ratu di dalam setiap gerombolan lebah madu. Lebah
ratu adalah lebah betina paling besar di antara semua lebah betina lain.
Ia mengeluarkan telur pada masa-masa tertentu. Tetapi kami tidak menetas
daripada telur-telur ini serta merta. Apa yang menetas daripada telur-telur
ini ialah ulat putih, yang dipanggil larva, tanpa mata, sayap atau kaki,
dan ia tidak sedikit pun kelihatan seperti kami. Untuk beberapa lama ia
kekal terbungkus di dalam sebuah kepompong. Dalam masa yang sama, ia diberikan
makan secukupnya dan kemudian berubah daripada kepompong menjadi seperti
saya.
Omar: Ia amat menakjubkan! Saya masih tertanya-tanya
tentang satu perkara! Dalam keadaan begitu sesak, apakah tidak berlaku
kekeliruan di dalam sarang kamu?
Si Lebah Madu: Tidak pernah. Sebaliknya,
ia sangat teratur. Beribu-ribu lebah tinggal bersama di dalam keadaan
keharmonian sambil kami melakukan kerja-kerja kami.
Telur-telur yang dihasilkan oleh lebah
ratu di dalam sel-sel, pada mulanya kelihatan seperti ulat-ulat
di dalam gambar di bawah. Larva-larva ini makin membesar, berkembang
dan berubah kepada bentuk seekor lebah. Gambar besar di bawah menunjukkan
lebah-lebah pekerja yang berkumpul di sekeliling ratu.
|
Omar: Ia sangat menarik! Saya masih tidak
faham bagaimana kamu dapat berkeadaan teratur sedangkan jumlah kamu terlalu
banyak! Ayah saya pengurus bangunan kami, dan dia menghadapi kesukaran
untuk menjaga ketertiban di sana. Tetapi kamu menyatakan kamu tidak mempunyai
masalah seperti ini.
Si Lebah Madu: Memang patut kamu berasa
terperanjat. Kami tahu pakar-pakar sains juga terperanjat dengan perkara
ini, dan mencari jawapan kepada persoalan bagaimana ketertiban ini dijaga,
dan bagaimana sejumlah besar lebah-lebah dapat bekerja bersama dengan
begitu baik! Saya boleh memberitahu kamu jawapannya dengan pantas: Kami
mempunyai tugas-tugas tertentu; kami bekerja keras dan melakukannya sebaik
mungkin dan kami cuba tidak mengganggu ketertiban di dalam sarang.
Ketika mendengar lebah pekerja ini dalam keadaan kehairanan, saya mendengar
ibu memanggil, "Omar! Omar! Di mana kamu?". Masanya untuk saya beredar.
Omar: Emak saya sedang memanggil saya. Saya
rasa saya perlu pergi dahulu sekarang. Saya sangat berbesar hati bertemu
dengan kamu. Terima kasih di atas semua yang telah kamu ceritakan kepada
saya!
Lebah-lebah madu saling memberi makan
antara satu sama lain.
|
Lebah-lebah mengipas sarang dengan sayap
mereka.
|
Lebah-lebah mengerumuni batas sepohon
pokok.
|
Lebah-lebah pekerja memberi makan larva-larva
di dalam sel
|
Si Lebah Madu: Saya juga gembira dengan
kehadiran kamu. Mungkin, kita akan dapat bertemu lagi! Bagaimana kalau
bertemu lagi di sini minggu depan? Jika kamu suka, saya boleh bawa kamu
ke sarang kami dan tunjukkan kamu indung-indung madu.
Omar: Ia tentu hebat! Tetapi, sudah tentu
hanya jika ibu bapa saya bersetuju untuk datang lagi ke mari.
Si Lebah Madu: Baiklah, semoga dapat bertemu
kamu minggu hadapan!
Sebaik sahaja saya sampai ke rumah, saya mengeluarkan ensiklopedia haiwan
yang ayah saya hadiahkan kepada saya. Saya dengan segera menyelak halaman-halaman
dan menemui bahagian tentang lebah madu. Benda pertama yang menarik perhatian
saya ialah gambar kecil seekor lebah madu. Saya telah mula merindukan
sahabat kecil saya...
Saya membaca buku tersebut dengan penuh takjub. Saya sungguh hairan dengan
apa yang saya baca sehinggakan saya tidak menyedari berapa lama masa telah
berlalu. Ibu saya tertanya-tanya apa yang saya lakukan di dalam bilik
saya begitu lama dan datang untuk melihat saya. Dengan gembiranya saya
mula menceritakannya semua tentang lebah.
 |
Omar: Ibu, tahukah ibu bahawa lebah madu
amat menakjubkan? Contohnya, biar saya ceritakan perkara terakhir yang
saya baca ini; mungkin ibu pernah mendengar lebah-lebah betina melakukan
kerja-kerja pembersihan di dalam sel. Mereka membuang semua bahan-bahan
yang ditinggalkan oleh lebah-lebah yang menetas daripada kepompong-kepompong
mereka, lebah-lebah yang mati di dalam sarang dan banyak benda yang bukan
kepunyaan sarang. Apakah ibu tahu apa yang mereka lakukan apabila mereka
menemui sesuatu yang terlalu besar untuk mereka bawa keluar daripada sarang?
Mereka mengawetnya dengan satu bahan yang dinamakan "propolis" untuk menghalangnya
daripada menghasilkan bakteria dan menjejaskan kesihatan lebah-lebah yang
lain di dalam sarang. Sukar untuk percaya, tetapi propolis adalah satu
bahan anti-bakteria, iaitu, untuk menghalang membiakkan bakteria... Adakah
ibu tahu di mana mereka mendapatkan bahan ini? Bagaimana makhluk-makhluk
kecil ini mengetahui begitu banyak tentang kimia? Setakat itu sahaja yang
telah saya baca. Mungkin saya boleh memberitahu bagaimana mereka membuat
bahan ini kemudian.
Lebah-lebah pekerja bertanggungjawab
untuk membuang semua jenis organisma dan larva-larva mati yang boleh
mengancam keselamatan dan kesihatan sarang ini.
|
|
Lebah-lebah pekerja menolak orang luar
keluar daripada sarang.
|
Ibu: Lebah adalah haiwan yang kecil tetapi
sangat bijak... Bagaimanapun, adalah salah untuk menganggap kebijaksanaan
ini kepunyaan mereka. Terdapat seorang Pencipta yang mengajar mereka segala
yang mereka lakukan. Ketika ibu seusia kamu, ibu juga membaca sebuah buku
tentang lebah madu yang amat mengagumkan ibu, sama seperti kamu. Kamu
boleh teruskan membaca. Ibu suka mendengar lebih banyak tentang lebah
madu bila-bila masa sahaja kamu mahu berkongsi apa yang telah kamu pelajari
dengan ibu.
Ibu saya keluar daripada bilik untuk menyediakan hidangan makan malam.
Persoalan tersebut masih berlegar-legar di dalam fikiran saya; di mana
lebah madu menemui bahan yang dinamakan "propolis" itu dan di mana mereka
belajar menggunakannya? Saya terus membaca dengan penuh ingin tahu.
Buku ini turut menyebut bagaimana lebah-lebah madu menghasilkan propolis.
Mulanya mereka mengumpulkan sejenis bahan yang dinamakan damar daripada
tunas sebahagian pokok yang melekit dengan bantuan rahang bawah mereka.
Mereka menghasilkan propolis dengan mencampurkan air liur mereka dengan
damar tersebut, dan membawanya ke sarang di dalam kantung khas di kaki
mereka.
Lebah-lebah madu mengumpulkan tunas-tunas
pokok yang melekit untuk menghasilkan propolis.
|
Lebah madu menyaluti apa sahaja yang mereka tidak dapat bawa keluar daripada
sarang dengan bahan ini yang mereka simpan di dalam kantung di kaki mereka.
Dengan cara ini, bahan tersebut tidak dapat menempatkan sebarang bakteria
dan menjadi tidak berbahaya. Ini adalah satu operasi yang sama dengan
kaedah pengawetan mumia.
Tetapi siapa yang mengajar mereka melakukannya? Bagaimana mereka mengetahui
bahawa makhluk yang telah mati atau bahan buangan boleh menjejaskan lebah
di dalam sarang? Sedangkan saya sendiri baru mengetahuinya sekarang. Ini
bukan sesuatu yang boleh diketahui oleh seekor serangga! Saya menjadi
bertambah bingung. Apakah mungkin lebah-lebah madu ini juga mempunyai
kesedaran seperti manusia?
Saya tidak berhenti daripada meneruskan pembacaan. Saya berkata sendirian:
"Sekarang saya faham sebelum ini saya langsung tidak mengetahui apa-apa
tentang lebah!". Saya masih mempunyai banyak persoalan di dalam fikiran
saya yang saya sendiri tidak dapat menjawabnya. Tetapi saya pasti lambat-laun
saya akan menemui jawapannya.
Buku ini juga memberitahu bagaimana lebah menghasilkan madu. Saya pernah
mendengar lebah menghasilkan madu, tetapi saya tidak tahu bagaimana mereka
membina indung-indung madu. Malah cara yang mereka gunakan untuk membina
indung-indung ini juga adalah suatu keajaiban!
Omar cuba melukis heksagon-heksagon sekemas
lebah madu. Tetapi tanpa bantuan peralatan tertentu seperti pembaris
dan sesiku, dia tidak berjaya seperti lebah-lebah itu. Kamu juga
boleh mencubanya sendiri.
|
Sel-sel indung madu berbentuk heksagon, rajah enam segi. Lebah-lebah
madu mula membina indung ini daripada bahagian atas sarang. Bermula daripada
beberapa titik, mereka membina dua atau tiga barisan ke bawah. Saya benar-benar
keliru; bagaimana sebuah indung madu boleh menjadi begitu tersusun jika
ia dibina dengan dimulakan daripada beberapa titik yang berbeza? Tambahan
pula, tidak ada kesan titik persimpangan di antara sel-sel indung madu.
Saya pernah melihat ibu saya mengait banyak kali. Dia sering memulakan
daripada satu titik. Saya tertanya-tanya bagaimana rupanya jersi jika
dia memulakannya daripada tiga titik yang berbeza.... Sudah tentu ia kelihatan
tidak elok! Jadi, sudah tentu lebah madu adalah haiwan yang mempunyai
perkiraan yang tepat...
Saya mengambil sehelai kertas dan sebatang pencil. Bermula daripada sudut-sudut
yang berbeza, saya mula melukis heksagon-heksagon (rajah enam segi). Saya
cuba menggabungkan heksagon-heksagon ini di tengah-tengah kertas. Saya
cuba melakukannya tanpa bantuan daripada sebarang peralatan seperti pembaris
dan sesiku dan tanpa membuat sebarang anggaran.
Tiada titik persimpangan muncul di atas
indung-indung madu yang dibina oleh lebah-lebah madu. Indung-indung
adalah satu bentuk seragam, seolah-olah ia dibuat oleh seorang sahaja.
Ini amat menakjubkan kerana lebah-lebah mula membina sel untuk membentuk
indung-indung madu daripada titik-titik yang berbeza.
|
Tetapi kemudian saya menyedari bahawa ia adalah operasi yang sukar. Jadi
bagaimana lebah-lebah madu melakukannya? Bagaimana mereka sel-sel heksagon
begitu sempurna?
Tiada titik persimpangan muncul di atas indung-indung madu yang dibina
oleh lebah-lebah madu. Indung-indung adalah satu bentuk seragam, seolah-olah
ia dibuat oleh seorang sahaja. Ini amat menakjubkan kerana lebah-lebah
mula membina sel untuk membentuk indung-indung madu daripada titik-titik
yang berbeza.
Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya ialah setiap lebah yang
menyertai pembinaan indung madu ini kemudian, dengan segera mengetahui
peringkat pembinaan tersebut dan mengambil alih kerja tersebut. Ketika
lebah-lebah meneruskan pembinaan sel-sel dari berbagai sudut, lebah-lebah
lain pula yang menyertai kumpulan tersebut mula membina daripada sedut
yang berbeza. Walaupun proses seperti ini selalunya menyebabkan kekeliruan,
tetapi lebah-lebah ini telah membina satu struktur yang sempurna.
Saya juga membaca bahagian tentang teknik lebah membuat madu. Saya sungguh
terperanjat dan gembira membaca tentang proses-proses yang luar biasa
ini. Buku ini menyatakan bahawa inti sari madu adalah madu bunga yang
lebah kutip daripada bunga-bunga dan kuntum-kuntum buah. Setelah mengumpulkan
madu bunga daripada bunga-bunga, lebah menukarkannya kepada madu.
Terdapat satu lagi subjek yang penting di dalam buku ini: ia memerlukan
kerja keras untuk menghasilkan madu. Contohnya, untuk mengumpulkan satu
kilogram madu, 900 ekor lebah perlu bekerja sepanjang hari. Anggaran lain
di dalam buku ini lebih memeranjatkan: untuk menghasilkan 450 gram madu
tulen, 17 ribu lebah mesti menghinggapi 10 juta bunga. Ia adalah satu
kerja yang sangat sukar bagi mereka. Tetapi, sebaliknya, lebah-lebah bekerja
lebih kuat dan menghasilkan lebih banyak madu daripada keperluan mereka.
Tambahan pula, mereka sendiri tidak menggunakan madu ini, tetapi menawarkannya
kepada kita, manusia.
Ini adalah sesuatu yang membingungkan. Dengan tubuh mereka yang kecil
hanya beberapa sentimeter panjang, lebah melakukan kerja-kerja yang menakjubkan.
Apakah sumber kesedaran, kemahiran dan kuasa ini? Bagaimana mereka memperoleh
kebijaksanaan, kesedaran dan mengetahui begitu banyak tentang kimia dan
matematik? Mengapa mereka bekerja keras untuk menghasilkan madu?
Saya mengambil buku saya dan pergi kepada ayah. Saya memberitahunya segala
yang telah saya pelajari, dan bertanya kepadanya bagaimana lebah-lebah
ini dapat melakukan semua perkara ini. Sambil tersenyum, ayah menepuk
kepala saya dan berkata:
|
Lebah-lebah mengutip inti sari madu daripada bunga-bunga
dan kuntum-kuntum buah.
|
"Kamu memang betul. Kita melihat kebijaksanaan dan kesenian yang hebat
di dalam kehidupan lebah-lebah ini. Tetapi adakah ia hanya di dalam lebah?
Sebenarnya, terdapat aturan yang sempurna di dalam semua haiwan dan lebih
daripada itu, di dalam setiap bahagian daripada alam semesta ini! Tetapi
terlebih dahulu biar ayah bacakan sepotong ayat daripada Al-Quran tentang
lebah untuk menjawab soalan-soalan kamu itu:
Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah
engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan
juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.
Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan
buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan
Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan
keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya,
yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit).
Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang
membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (Surah
An-Nahl: 68-69)
Omar: Sekarang saya memahaminya dengan lebih
baik, ayah. Allah "mendorong" lebah-lebah untuk bertindak dengan cara
yang menakjubkan ini. Allah sangat mengasihi kita dan Dia mendorong lebah-lebah
menghasilkan madu yang mengandungi ciri-ciri perubatan untuk kita. Sungguh
menarik mempelajari tentang kemurahan Allah.
Ayah: Jika kamu mengkaji semut atau nyamuk,
unta, burung, ikan, bunga, pokok, bintang, lautan, ringkasnya, semua yang
ada di bumi, kamu juga akan merasa kagum berhadapan dengan kesempurnaan
yang kamu saksikan pada mereka. Semua ini menunjukkan bahawa seluruh alam
semesta ini diatur oleh satu kesenian yang hebat. Ini adalah kesenian
Allah, yang menjadikan kamu dan ayah dan ibu kamu, lebah, burung kakak
tua, arnab, tupai, planet-planet, angkasa, matahari, dengan kata lain
semua yang terdapat di dalam cakerawala ini. Allah adalah Tuhan kepada
semuanya.
Segalanya berlaku dengan kebenaran dan kehendak-Nya. Dia adalah Pencipta
lebah-lebah madu. Semua yang mereka lakukan adalah dengan kebenaran-Nya.
Kebijaksanaan yang kita saksikan di dalam haiwan-haiwan ini adalah lambang
kebijaksanaan Allah yang tidak terbatas. Jika kamu melihat sekeliling
kamu dengan pandangan seperti ini, kamu akan segera menyedari keajaiban
yang sedang mengelilingi kamu!"
Ayah saya memang betul. Tidak dapat diragui lagi bahawa semua kebijaksanaan
yang kita saksikan di sekeliling kita mempunyai seorang Tuhan Yang Maha
Kuasa. Saya berfikir sendiri, "Allah adalah Maha Berkuasa, Maha Bijaksana,
Pencipta segalanya". Saya telah menemui jawapan kepada semua persoalan-persoalan
yang selama ini mengganggu saya. Lebah-lebah madu tidak memiliki kebijaksanaan
yang dipamerkannya! Adalah mustahil bagi mereka untuk memiliki kebijaksanaan
seperti ini! Mereka bertindak dengan dorongan Allah, Pencipta mereka,
dan kerana itu mereka mempamerkan satu kebijaksanaan tinggi yang memeranjatkan
kita.
Saya meluangkan sepanjang minggu ini memberitahu semua orang yang saya
temui, ibu saya, ayah, sepupu-sepupu saya dan sahabat-sahabat, tentang
lebah madu. Pada hujung minggu, saya bertanyakan ayah saya untuk pergi
ke hutan itu lagi.
Omar: Ayah adakah kita akan pergi berjoging
di hutan lagi hujung minggu ini?
Ayah: Sebenarnya, ayah tidak merancang untuk
ke sana hujung minggu ini, tetapi jika kamu mahu, mengapa tidak?
Saya amat berbesar hati dan gembira mendengarnya. Saya tertanya-tanya
sama ada saya akan dapat bertemu lagi dengan lebah madu yang telah bercakap
dengan saya!
Apabila kami sampai ke hutan tersebut, saya merasa lebih gembira. Saya
tidak sabar untuk bertemu semula dengan lebah madu itu lagi. Saya mula
berjoging bersama ayah saya. Tidak lama kemudian kami sampai ke tempat
saya mula bertemu dengan lebah madu itu. Saya memberitahu ayah saya bahawa
saya hendak meninjau di kawasan sekitar sebentar. Dia menerimanya, tetapi
mengingatkan saya supaya tidak pulang lewat. Saya berlari dengan pantas
ke tempat pertemuan kami. Sahabat saya itu telah sedia di sana menanti
saya. Jelas dia telah berada di sini beberapa waktu.
Omar: Helo! Saya sangat gembira dapat bertemu
dengan kamu lagi!
Si Lebah Madu: Saya juga begitu! Selamat
datang! Saya juga gembira bertemu dengan kamu lagi Saya akan berpegang
kepada janji saya dan akan menunjukkan kepada kamu indung-indung madu
hari ini.
Omar: Hebat! Kamu tahu tak? Saya meluangkan
sepanjang minggu ini memikirkan tentang indung-indung madu kamu yang menakjubkan
itu! Saya tidak sabar untuk melihatnya!
Daripada sebatang pokok beberapa langkah daripada situ, satu bunyi dengungan
yang menakjubkan kedengaran. Saya tidak mungkin berani pergi ke sana jika
tidak ada sahabat saya ini bersama. Lebah madu kecil ini berjanji bahawa
tiada apa akan berlaku kepada saya, dan saya mempercayainya.
Apabila kami menghampiri batang pokok, saya masih ingat bahawa di sebalik
bunyi dengungan yang saya dengar terdapat aturan hebat di dalamnya. Lebah
madu adalah salah satu di antara haiwan-haiwan yang kuat bekerja di alam
ini; mereka bekerja tanpa sesaat berhenti dan mereka menghasilkan madu
lazat yang mempunyai berbagai kegunaan kepada manusia. Sahabat kecil saya
menunjukkan saya sel-sel indung madu; ia dibuat dengan begitu rapi sehinggakan
sesiapa sahaja akan tertanya-tanya bagaimana makhluk-makhluk kecil ini
dapat membuat sebuah binaan yang begitu sempurna.
Sel-sel yang saya lihat diperbuat daripada heksagon-heksagon yang kemas
dan sempurna, atau rajah enam segi. Di dalam kelas matematik minggu lepas,
saya telah menyoal guru saya beberapa soalan tentang heksagon. Beliau
telah menerangkan kepada saya secara ringkas tentang heksagon, tetapi
masih terdapat beberapa soalan di dalam fikiran saya.
Saya bertanyakan sahabat saya tentang garis panduan untuk membina sebuah
sel indung madu heksagon. Dia memberitahu saya bahawa ketua lebah, yang
merupakan lebah paling berumur, dapat memberikan saya jawapan yang tepat.
Dia kemudian memanggil ketua lebah berkenaan, yang menjawab soalan saya:
Ketua Lebah: Ketika kami membuat sebuah
sel heksagon, kami memberikan perhatian istimewa kepada sudut dalaman
sel-sel indung. Kami mesti memastikan semuanya 120 darjah. Di samping
itu, kecondongan sel-sel ini ke tanah juga amat penting. Jika kami menitikberatkan
titik lain dan meninggalkan titik ini, sel tidak akan menjadi bentuk yang
sepatutnya dan semua madu yang kami simpan di dalam indung akan melimpah
keluar ke tanah.
Omar: Sebenarnya, ia amat sukar untuk sama
memahaminya, kerana saya tidak biasa dengan subjek ini. Bagaimana lebah
madu dapat melakukan perkiraan ini tanpa melakukan sebarang kesilapan?
Bagaimana kamu menetapkan setiap sudut 120 darjah? Dan kamu tidak menggunakan
sebarang peralatan ketika membina indung-indung ini. Ia mengingatkan saya
kepada semua halaman-halaman yang penuh dengan bentuk-bentuk geometri
ganjil yang saya lukis ketika cuba melukis heksagon yang tepat... Saya
bertambah kagum dengan kamu sekarang!
Ketua Lebah: Jangan kagum dengan
kami; kami tidak melakukan perkara-perkara ini sendirian! Ia adalah kemahiran-kemahiran
semula jadi.
 |
Ketika membina selsel,
lebah madu mengira darjah-darjah sudut sama serpeti jurutera-jurutera
mahir. Akhirnya, indung yang dibina adalah satu keajaiban kejuruteraan.
Tidak dapat diragunkan, bahwa lebah-lebah kecil ini tidak mungkin
melakukan pengriraan ini dengan sendirinya. Serpeti makhluk-makhluk
lain di alam ini, mereka bertindak mengikut dorongan Allah.
|
Dengan kata lain, kami dilahirkan dengan kemahiran-kemahiran ini. Kami
tidak menerima sebarang latihan atau yang seumpama dengannya.
Omar: Kamu memperlihatkan kebijaksanaan
yang hebat! Setiap orang perlu mempelajari perkara-perkara yang kamu lakukan.
Saya ingin menyoal kamu beberapa perkara, jika kamu benarkan.
Ketua Lebah: Sudah tentu...
Omar: Mengapa kamu membina indung-indung
kamu dalam bentuk heksagon?
Ketua Lebah: Saya faham. Kamu mahu tahu
mengapa kami tidak membuatnya berbentuk bulat, segi tiga, pentagon atau
oktagon, tetapi heksagon... Jika kami membuat indung-indung madu ini dalam
bentuk lain, akan ada ruang-ruang tertinggal yang tidak digunakan di antara
sel-sel; dengan itu, kami hanya dapat menyimpan kurang madu dan terpaksa
membazirkan lilin untuk menampal jurang ini. Sebenarnya, kami juga boleh
menyimpan madu di dalam bulatan atau segi tiga, tetapi heksagon adalah
satu bentuk yang mempunyai ukur lilit yang terpendek. Walaupun mempunyai
keluasan yang sama dengan bentuk-bentuk lain, tetapi kami menggunakan
kurang lilin untuk membuat sel-sel heksagon daripada apa yang kami gunakan
untuk membuat segi tiga dan bulatan. Dengan kata lain, kami boleh menyimpan
jumlah madu yang maksimum di dalam indung-indung heksagon dan menggunakan
jumlah lilin yang minimum.
Saya tidak dapat mempercayai apa yang saya dengar! Saya sedang mendapat
pelajaran kejuruteraan daripada seekor lebah madu yang kecil... Terdapat
banyak lagi perkara yang hendak saya tanya dan belajar. Tetapi hari sudah
lewat, jadi kami meninggalkan Ketua lebah itu dan berjalan ke arah ayah
saya.
Omar: Saya telah mempelajari banyak perkara
daripada kamu dan lebah-lebah madu lain. Sekarang saya sedar sebelum ini
saya tidak menyedari keindahan yang wujud di hadapan mata saya! Kamu telah
mengajar saya bahawa terdapat aturan yang sempurna di dalam alam semesta
ini.
Mulai sekarang saya harap saya akan dapat mengenal pasti semua kesempurnaan
ini. Terima kasih banyak-banyak kepada kamu!
Si Lebah Madu: Tidak mengapa, sahabat kecilku...
Jangan lupa bahawa tidak satupun kesempurnaan ini adalah milik kami! Kami
hanya melakukan apa yang telah diajarkan kepada kami. Selamat tinggal!
Sebaik sahaja saya meninggalkan si lebah madu, saya terdengar ayah saya
memanggil nama saya.
|
Lebah-lebah madu mengumpulkan madu bunga daripada
bunga untuk menghasilkan madu.
|
Hari sudah lewat. Saya segera kembali untuk bertemu dengan ayah saya,
tetapi fikiran saya masih tertumpu pada sahabat kecil saya! Sebaik sahaja
saya memasuki kereta, saya terlihat seekor rama-rama. Ia mempunyai gabungan
warna yang hebat, harmoni dan simetri pada sayap-sayapnya. Saya memutuskan
untuk pergi ke perpustakaan sekolah besok untuk melakukan kajian ke atas
rama-rama.
Seseorang itu tidak akan dapat menghitung keindahan-keindahan yang dijadikan
Allah. Saya menyedari kini bahawa masih banyak lagi perkara yang perlu
dipelajari...
|