Alam Semesta
Di dalam bab ini, kita akan bercakap dengan panjang lebar tentang planet-planet
dan objek-objek lain di alam semesta ini. Matahari, bulan dan Bumi adalah
di antara yang paling kita kenali. Tetapi, sebenarnya terdapat objek-objek
angkasa lain di cakerawala ini yang kamu tidak dapat lihat.
Fikirkan tentang filem atau cerita kartun tentang angkasa lepas! Angkasa
lepas dipenuhi dengan bintang-bintang, planet-planet dan meteor-meteor
yang dapat dilihat di dalam filem-filem ini. Setiap satunya dikenali sebagai
objek angkasa. Berbilion objek-objek angkasa ini berkumpul untuk membentuk
himpunan gergasi sistem-sistem bintang yang dikenali sebagai galaksi.
Semua objek-objek angkasa ini sangat besar. Contohnya, planet kita Bumi
adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan objek-objek angkasa lain.
Tetapi, ia cukup besar untuk menampung manusia, haiwan, gunung-ganang,
lautan dan apa sahaja yang kamu dapat fikirkan.
Sekarang mari kita masuki himpunan gergasi sistem bintang ini, galaksi-galaksi
yang menghimpunkan berbilion-bilion bintang.
Galaksi-galaksi
Galaksi adalah gabungan berbilion bintang. (Bintang ialah objek-objek
angkasa besar seperti matahari. Bumi dan bulan bukan bintang). Terdapat
tiga trilion bintang di dalam galaksi terbesar. Di dalam galaksi bersaiz
sederhana, terdapat kira-kira 200 ke 300 bilion bintang, sementara terdapat
sekitar 100 bilion bintang di dalam galaksi kecil.
Sekarang berhenti dan fikirkan seketika: Apa ertinya jumlah satu bilion
kepada kamu? Contohnya, jika kamu meletakkan dua sifar selepas angka satu,
ia akan menjadi 100. Jika kamu menambahkan satu lagi sifar kepada angka
ini, ia akan menjadi 1,000. Tambah satu lagi sifar dan sekarang kamu mendapat
10,000 (sepuluh ribu). Bolehkah kamu mengira sehingga 10,000? Mungkin
kamu boleh melakukannya, tetapi ia mengambil masa yang panjang. Sedangkan
kita masih belum sampai ke angka satu bilion. Kemudian kita tambahkan
dua sifar kepada angka 10,000. Sekarang kita mendapat 1,000,000 (satu
juta). Kita masih tidak mencapai angka bintang-bintang di galaksi. Tetapi
jika kamu menambah tiga lagi sifar pada angka 1,000,000, kamu akan mendapat
1,000,000,000 (satu bilion). Bolehkah kamu mengira sehingga 1,000,000,000?
Biar kita menjawab soalan ini; mengira satu bilion memakan masa selama
beberapa dekad, satu dekad ialah sepuluh tahun.
 |
Sekarang kita hampir mencapai angka bintang-bintang di galaksi. Jika
kamu menambahkan dua lagi sifar selepas angka 1,000,000,000, ia menjadi
100,000,000,000 (seratus bilion). Ia adalah jumlah bintang-bintang di
dalam galaksi-galaksi kecil.
Sekarang sudahkah kamu mendapat gambaran tentang cakerawala ini. Jika
kamu menghabiskan seluruh masa kamu mengira, kamu masih gagal mengira
semua bintang-bintang di angkasa. Allah, Pencipta alam ini, telah menjadikan
angkasa tidak terbatas yang tidak dapat kamu bayangkan, dan Dia mengawal
setiap titik cakerawala yang besar ini setiap masa. Allah mengetahui dan
melihat setiap hidupan di dalam cakerawala yang besar ini, dan segala
apa yang berlaku. Kuasa tidak terbatas Allah ini diceritakan di dalam
Al-Quran seperti berikut:
… dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang
ada di Bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap- tiap sesuatu. (Surah Ali
'Imran:29)
Sekarang mari kita kembali kepada topik kita dan cuba mempelajari lebih
banyak tentang galaksi.
Di dalam galaksi-galaksi bersaiz sederhana atau besar, terdapat satu
pusat galaksi. Sekeliling pusat galaksi ini adalah tangan-tangan yang
berputar pada kelajuan yang besar. Tangan-tangan ini terdiri daripada
bintang-bintang, gas dan awan-awan debu.
Dengan tangan-tangan dan pusatnya, galaksi-galaksi adalah objek angkasa
terbesar di angkasa. Kelompok-kelompok galaksi ini juga membentuk kelompok-kelompok
objek angkasa yang lain. Terdapat beratus-ratus galaksi di dalam satu
kelompok galaksi. Tambahan pula, kelompok-kelompok galaksi ini membentuk
kelompok-kelompok objek angkasa lain. Kelompok galaksi ini makin membesar
dan terus membesar.
Sekarang mari kita senaraikan kembali apa yang telah kita perhatikan
setakat ini:
- Galaksi adalah himpunan berbilion, malah bertrilion bintang-bintang.
- Galaksi-galaksi yang besar dan sederhana mempunyai pusat galaksi.
- Galaksi mempunyai tangan-tangan terdiri daripada bintang-bintang,
gas dan awan-awan debu. Tangan-tangan ini berputar keliling pusat galaksi
pada kelajuan yang tinggi.
- Galaksi-galaksi berkumpul untuk membentuk kelompok galaksi. Kadangkala,
terdapat beratus-ratus galaksi di dalam satu kelompok galaksi. Kelompok-kelompok
galaksi ini juga berkumpul di dalam himpunan kelompok.
Simpan di dalam fikiran kamu, sebuah galaksi yang terkumpul daripada
100 bilion bintang-bintang adalah sebuah galaksi kecil, jangan lupa setiap
bintang adalah sekurang-kurangnya sebesar matahari. Tambahan pula, terdapat
planet-planet besar dan kecil seperti Bumi kita yang berputar mengelilingi
semua bintang-bintang ini.
Sekarang, fikirkan perkara berikut: Bolehkah berbilion-bilion bintang
dapat berkumpul secara kebetulan di dalam keadaan yang tersusun? Bolehkah
bintang-bintang ini secara spontan mengadakan satu aturan yang membolehkan
mereka bergerak tanpa berlanggar dengan objek-objek angkasa yang lain
(contohnya Bumi kita dan planet-planet lain)?
Sudah tentu mustahil. Ini bererti bahawa bintang-bintang yang berputar
dengan kelajuan yang tinggi tanpa berlanggar dengan objek-objek angkasa
yang lain sejak mula kewujudannya adalah satu petanda kewujudan Allah:
Pencipta, Perancang, Pengatur dan Pentadbir seluruh alam. Allah telah
menjadikan banyak laluan untuk planet-planet, bintang-bintang dan komet-komet
di angkasa. Semua objek-objek angkasa ini mengikut laluan mereka sendiri
tanpa berlanggar dengan yang lain.
Sekarang kita sambung semula perjalanan kita dengan galaksi ini.
Bimasakti
Bimasakti adalah nama bagi galaksi di mana terletaknya Bumi kita. Galaksi
Bimasakti amat besar. Seperti galaksi-galaksi besar yang lain, Bimasakti
juga mempunyai pusat galaksi. Sudah tentu kamu masih ingat apa itu pusat
galaksi kerana kita baru sahaja membincangkannya di bahagian lepas. Bintang-bintang
di dalam pusat-pusat ini adalah bintang-bintang tua; mereka berwarna merah
atau kuning. Bintang-bintang pada tangan-tangan galaksi ini selalunya
adalah bintang-bintang biru yang muda dan panas. Gas dan awan-awan debu
terdapat di dalam tangan-tangan ini.
Bimasakti berbentuk pusar; sebenarnya bentuk galaksi ini adalah seperti
"roda pin". Iaitu, ia mempunyai tangan-tangan pada pusatnya yang keluar
ke arah bahagian luar. Terdapat empat tangan. Atau dikenali sebagai "Tangan
Pemburu" (Hunter Arms). Kumpulan planet yang dikenali sebagai "Sistem
Suria" terletak pada tangan ini, dan Bumi kita adalah satu daripada planet-planet
di dalam kumpulan ini.
Sistem Suria kita terletak sedikit agak jauh daripada pusat galaksi ini.
Matahari (dan sistem Suria kita) mengelilingi pusat galaksi ini, dan menyempurnakan
satu putaran setiap 220 juta tahun atau lebih.
Anak panah menunjukkan kedudukan Bumi
kita di dalam Bimasakti.
|
Bimasakti ini telah mengekalkan bentuk dan pergerakannya selama berbilion-bilion
tahun. Walaupun bintang-bintang di dalamnya beredar dengan kelajuan yang
hebat, mereka memelihara laluan mereka sendiri.
Bagaimana pun, mustahil bagi bintang-bintang ini untuk membentuk bentuk-bentuk
seperti ini dengan sendiri. Mustahil juga untuk mereka mencapai persepakatan;
untuk beratur dengan cara yang paling tepat dan bergerak dengan cara paling
tersusun. Tidak mungkin juga undang-undang yang mengatur bintang-bintang
ini membentuk dengan sendirinya. Fikirkan tentang batu-batu di taman kamu!
Bolehkah batu-batu ini membuat keputusan dan berkata, "Biar sebahagian
daripada kita membentuk bahagian pusat dan yang lain mengambil posisi
di bahagian tangan, dan kemudian berpusing di dalam taman secara berterusan"?
Apakah kamu akan percaya seorang yang menyatakan telah mendengar batu-batu
bercakap sesama mereka dengan cara ini? Sudah tentu tidak. Begitu juga,
jika menyatakan Bimasakti ini wujud secara kebetulan dan bintang-bintang
bergerak dengan sendirinya, ia amat lucu seperti contoh batu-batu di taman.
Jangan lupa, objek-objek angkasa ini bukan benda hidup, ia benda tidak
bernyawa seperti batu-batu di taman.
Tidak ada kuasa lain selain daripada Allah yang berupaya menjadikan berbilion-bilion
bintang gergasi di dalam cakerawala yang teratur ini. Allah menjadikan
mereka dan undang-undang yang mengawal mereka. Mereka semua bersaksi dengan
kekuasaan dan pentadbiran Allah ke seluruh alam semesta ini. Kerana itu,
setiap cebis maklumat yang kita pelajari tentang alam ini mengingatkan
kita kepada kewujudan Allah dan penciptaannya. Dengan cara ini, Allah
juga menunjukkan kepada kita kebijaksanaan dan pengetahuan-Nya.
Sekarang mari kita beralih kepada bintang.
Bintang-bintang
Bintang-bintang dan planet-planet terbentuk melalui pemampatan jirim-jirim
gas dan debu di angkasa yang dinamakan "nebula". Kerana itu, nebula, sumber
objek-objek angkasa ini, mempunyai peranan utama di cakerawala ini. Nebula
tidak mempunyai cahaya sendiri seperti bintang. Oleh itu, sukar untuk
melihatnya. Ia hanya dapat dilihat apabila gas dalamnya mengeluarkan cahaya
atau jika ia memantulkan cahaya daripada bintang-bintang. Kita juga dapat
melihatnya apabila ia dilintasi satu sumber cahaya.
Bintang memberikan kepanasan, cahaya dan tenaga. Selain daripada bintang-bintang
kecil, terdapat juga bintang-bintang besar. Sebenarnya matahari bukan
bintang utama seperti yang kita sangka; terdapat banyak bintang-bintang
lebih besar daripadanya.
Tahukah kamu bintang juga mempunyai jangka hayat? Bintang bukan benda
hidup, tetapi seperti juga benda hidup, mereka juga dilahirkan, hidup
dan mati.
Seperti yang telah kami tunjukkan, bintang terbentuk di dalam nebula.
Sebuah bintang gergasi selalunya mati di dalam letupan besar, jirim-jirim
yang membentuknya akan berselerakan ke serata arah. Daripada pecahan-pecahan
ini, ia membentuk elemen-elemen yang menyebabkan kemusnahan bintang-bintang
dan planet-planet kecil yang berdekatan. Matahari dan planet-planet di
dalam Sistem Suria dan Bumi kita telah terbentuk berikutan letupan sebutir
bintang gergasi pada masa silam.
Sekarang, mari kita melawat ke dalam Sistem Suria kita dan lihat bagaimana
bentuknya!
Sistem Suria
Di dalam Sistem Suria kita, terdapat sembilan planet utama dengan 61
satelit dan sejumlah asteroid, semuanya mengelilingi sebutir bintang yang
dinamakan "matahari". Matahari terletak di tengah Sistem Suria.
Sembilan planet-planet ini, yang menjadi sebahagian daripada Sistem Suria
kita, berputar sendiri sebagaimana ia beredar mengelilingi matahari dalam
bentuk yang tersusun. Mari kita sebutkan nama-nama planet ini: Utarid,
Zuharah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun dan Pluto. Seperti
yang kamu dapat lihat, Bumi kita berada di tempat ke tiga daripada matahari.
Setiap planet di dalam Sistem Suria ini mempunyai ciri-ciri berbeza.
Suhu di sesetengah planet ini cukup panas untuk mencairkan timah. Sementara
yang lain pula, diseliputi salji. Sebahagian planet terdiri daripada gas-gas
keseluruhannya. Sesetengahnya pula terlalu kecil seperti bulan.
Terdapat hubungan harmoni di antara satelit-satelit dengan primernya.
(Di dalam ilmu astronomi, satu primer bererti satu objek yang dikelilingi
oleh objek lain. Primer Bumi ialah matahari; primer bulan ialah Bumi)
Planet-planet menarik satelit-satelit mereka. Bagaimanapun, satelit-satelit
ini mengimbangi tarikan ini. Tanpa keseimbangan seperti ini, satelit akan
melekat pada planet atau terlepas ke angkasa.
Contohnya jika bulan berputar perlahan, ia akan menjunam ke Bumi dengan
kepantasan yang tinggi. Ia akan memusnahkan Bumi. Jika ia berputar terlalu
laju, ia akan bergerak meninggalkan Bumi dan tidak akan menjadi satelit
kita lagi.
Sekarang, mari kita perhatikan matahari, pusat Sistem Suria kita.
Matahari
Matahari adalah objek angkasa terbesar di dalam Sistem Suria ini. Ia
terdiri daripada gas-gas yang panas dan bercahaya. Setiap saat, berlaku
letupan di permukaannya, seolah-olah matahari itu sendiri adalah sebutir
bom nuklear gergasi. Letupan-letupan permukaan ini adalah sama dengan
tenaga yang dihasilkan oleh berjuta bom atom. Ia melontarkan api 40-50
kali ganda lebih besar daripada Bumi.
Matahari kelihatan seperti bola api dan mengeluarkan kepanasan dan cahaya
daripada permukaannya. Jika matahari tidak wujud, kita akan sentiasa berada
pada waktu malam, dan seluruh dunia kita akan diliputi salji. Lebih penting,
tidak akan ada hidupan di Bumi ini.
Angkasa (kamu masih ingat filem tentang angkasa) adalah satu tempat yang
sangat gelap, besar dan kosong. Bumi adalah sebuah objek angkasa di dalam
angkasa luas yang gelap ini, dan tiada objek angkasa lain yang cukup hampir
untuk menerangi dan memanaskan Bumi kita.
Cahaya daripada matahari sangat terang. Kamu mungkin pernah mencuba melihat
tepat pada matahari pada hari cerah. Selepas melihat selama beberapa saat,
mata kamu menjadi silau, bukankah begitu? Kerana cahayanya terlalu terang,
melihat tepat pada matahari adalah sangat bahaya kepada mata kita. Begitu
juga, terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari pada musim panas juga
berbahaya. Kulit kamu mungkin akan terbakar, dan ia hanya dapat disembuhkan
dengan rawatan perubatan. Terutamanya pada musim panas, kepanasan yang
terpancar daripada matahari sangat tinggi. Bagaimanapun, matahari terletak
berjuta-juta kilometer daripada Bumi, dan hanya satu bahagian daripada
dua ribu kepanasan yang dipancarkannya mengenai Bumi.
Suhu permukaan matahari ialah 6,000°C, sementara
suhu dalamannya ialah 12,000,000°C.
|
Jika suhu Bumi sudah cukup tinggi walaupun dengan jarak di antara Bumi
dan matahari, kamu boleh bayangkan betapa panasnya matahari? Ahli sains
mengeluarkan anggarannya. Bagaimanapun, kita tidak dapat mengetahuinya
dengan membandingkan dengan suhu yang sama di dunia. Di permukaan matahari
sahaja, suhunya ialah 6,000°C. di dalamnya, ia meningkat sehingga 12,000,000°C.
Tiada kepanasan di Bumi yang dapat kamu bandingkan dengan kepanasan ini!
Tangan kamu hanya dapat menyentuh air sekitar 50°C. Walaupun pada musim
panas, suhu hanya berada sekitar 40-50°C. Contoh ini membuktikan Allah
telah menetapkan jarak di antara Bumi dan matahari dengan tepat. Jika
matahari sedikit hampir kepada kita, semua yang berada di Bumi akan layu
dan kering oleh kepanasan dan bertukar menjadi abu. Bagaimanapun, jika
ia sedikit terlebih jauh, semuanya akan beku. Sudah tentu hidupan tidak
akan wujud di dalam kedua-dua keadaan ini.
 |
Kawasan kutub, di mana kepanasan daripada matahari paling kurang diterima,
sentiasa diseliputi ais. Sebaliknya, di khatulistiwa, kawasan paling banyak
menerima cahaya matahari, sentiasa panas. Allah telah mewujudkan kawasan-kawasan
ini sebagai perumpamaan kepada kita. Kawasan-kawasan lain lebih sesuai
untuk manusia hidup. Ini menunjukkan rahmat Allah yang dilimpahkan kepada
kita. Ini kerana, jika Allah tidak menetapkan jarak di antara matahari
dan Bumi dengan tepat, sedah tentu kehidupan di Bumi ini lebih sukar kepada
kita. Mungkin juga tidak ada kehidupan langsung.
Jika matahari lebih hampir kepada Bumi,
planet kita akan menjadi terlalu panas. Semua keseimbangan halus
ini adalah di bawah kawalan Allah.
|
Seperti yang telah kami jelaskan sebelum ini, Allah menjadikan matahari
dan bulan selaras untuk membolehkan manusia wujud di planet ini. Di dalam
al-Quran, Allah memberitahu kita bahawa matahari dan bulan bergerak dengan
arahan Allah:
Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi
dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam
di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)
tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan.
Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda
kekuasaan-Nya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu
(untuk menerima balasan). (Surah Ar-Ra'd:2)
Tarikan Graviti Matahari
Objek-objek angkasa yang banyak bergerak dalam keadaan teratur tanpa
berlanggar antara satu sama lain adalah kerana Allah telah meletakkan
mereka pada orbit yang tepat. Satu orbit ialah laluan sebuah planet atau
komet yang diikutinya ketika mengelilingi matahari. Tidak ada planet yang
berhenti mengikut orbitnya dan keluar ke angkasa lepas. Kerana planet-planet
berada di bawah tarikan graviti matahari. Ketika kamu membaca ayat ini,
Bumi sedang bergerak pada kelajuan setinggi 108,000 kilometer (70,000
batu) per jam di dalam orbitnya mengelilingi matahari. Perumpamaan berikut
mungkin dapat membantu kamu memahami kelajuan ini: kelajuan maksimum sebuah
kereta ialah 200 kilometer (125 batu) per jam. Ini bererti kelajuan Bumi
bergerak mengelilingi matahari adalah 540 kali lebih laju daripada kelajuan
kereta. Contoh lain pula: sebutir peluru bergerak pada kelajuan 1,800
kilometer (1,100 batu) per jam. Kelajuan Bumi bergerak mengelilingi matahari
adalah 60 kali lebih laju daripada kelajuan sebutir peluru.
Kelajuan Bumi kita mengelilingi matahari
ialah 540 kali lebih laju daripada sebuah kereta lumba.
|
Disebabkan oleh kelajuan tinggi Bumi ini, tarikan graviti matahari amat
penting. Jika matahari berkurangan tenaga gravitinya, kita akan melayang
keluar ke angkasa lepas bersama dengan Bumi. Ia akan memusnahkan Bumi…
Sebaliknya pula, jika matahari mula menggunakan tenaga graviti yang terlalu
kuat, Bumi kita akan tertarik kepada matahari dan menjadi cair. Dalam
keadaan in juga kita akan musnah. Selain itu, daya tarikan graviti matahari
juga memelihara planet-planet di dalam orbit mereka daripada berlanggar
antara satu sama lain. Bagaimana pun, tahukah kamu bagaimana matahari
menarik planet-planet ini?
Jika tarikan graviti Bumi kita kurang,
Bumi dan semua yang ada di atasnya, termasuk kita, akan terbang
ke angkasa.
|
Jawapannya amat jelas. Pencipta kita Allah, Yang Maha Kuasa yang telah
menjadikan dan memelihara keseimbangan ini.
Tambahan pula, bukan matahari sahaja yang mempunyai tarikan graviti.
Planet-planet di dalam Sistem Suria ini juga mempunyai kuasa tarikan graviti
mereka sendiri. Contohnya, tarikan graviti Bumi menarik bulan ke arahnya.
Kerana tarikan graviti ini, bulan berada pada satu jarak. Dengan cara
ini, Bumi tidak akan berlanggar dengan bulan. Tidak dapat diragukan lagi,
kuasa Allah yang tidak terbatas telah memelihara bulan daripada jatuh
ke Bumi.
Terdapat tarikan graviti lain yang sama dengan matahari, yang direka
khas untuk membolehkan manusia hidup. Iaitu tarikan graviti Bumi yang
memberikan kita berat badan. Kuasa graviti ini, yang kita rasai sebagai
berat, menahan kita di atas Bumi dan membolehkan kita berjalan dan berlari
dengan mudah tanpa melayang ke angkasa.

Keseimbangan sempurna yang
dijadikan Allah, dan kawalan-Nya ke atas semua benda, membolehkan
kita berjalan dan berlari di atas planet ini tanpa sebarang kesukaran.
|
Bayangkan kamu memegang sebiji bola. Apa terjadi apabila kamu membalikkan
tangan kamu? Bukankah bola akan terjatuh? Ini kerana graviti telah menariknya
ke tanah. Tetapi, jika kamu melepaskan bola ini ke angkasa lepas, bola
tersebut tidak akan jatuh kerana kurangnya kuasa graviti di situ. Oleh
itu, kewujudan kuasa graviti yang kuat di Bumi amat penting kepada kita.
Terdapat satu lagi fakta penting tentang graviti: Kuasa graviti boleh
bertambah atau berkurang daripada kuasanya yang asal. Jika ia berkurangan,
kamu akan berjalan di udara dan tidak dapat menyentuh lantai dengan kaki
kamu. Kamu tidak dapat bergerak sesuka hati kamu; kamu akan melayang-layang
dari satu tempat ke satu tempat, melambung apabila kamu melangkah dan
melanggar siling. Begitu juga sekiranya tarikan graviti Bumi terlalu kuat,
kamu tidak dapat berjalan kerana kamu akan ditarik ke tanah. Kamu hanya
dapat merangkak di atas tanah.
Tetapi, ini tidak berlaku kepada kita; Allah menjadikan kuasa graviti
yang tepat untuk kita.
Mungkin kamu dapat memahaminya dengan lebih baik melalui contoh ini:
Bulan, seperti juga Bumi, mempunyai tarikan graviti. Bagaimanapun, tarikan
gravitinya lebih rendah daripada Bumi. Oleh itu, tidak mungkin kamu dapat
hidup di atas bulan. Di dalam TV, kamu mungkin pernah melihat angkasawan
berjalan di atas bulan. Bolehkah kita menghabiskan seluruh hidup kita
seperti itu? Sudah tentu tidak.
Sekarang mari kita sambung semula perjalanan kita dengan melawat planet-planet
di dalam tarikan graviti matahari.
Planet-planet
Kami telah menjelaskan sebelum ini, planet ialah objek-objek angkasa
yang mengelilingi bintang-bintang. Di dalam bahagian ini, kita akan mengkaji
planet-planet di dalam Sistem Suria di mana Bumi kita berada. Jika kita
anggarkan Sistem Suria ini sebagai sebuah bulatan, matahari berada di
tengahnya.
Pluto adalah planet yang berada paling jauh daripada pusatnya. Pluto
adalah planet paling kecil dan paling jauh daripada matahari. Pemerhatian
ke atas planet ini amat sukar, dan teleskop Hubble hanya dapat menunjukkan
beberapa maklumat dasar permukaannya. Planet ini sangat sejuk. Suhunya
adalah sekitar -238°C. Pada musim sejuk, ketika suhu Bumi jatuh di bawah
-2 atau -3°C, ia menjadi beku. -238°C adalah suhu yang 100 kali ganda
lebih sejuk daripada suhu yang Bumi dapat terima pada musim sejuk. Kesejukan
seperti ini boleh memusnahkan kita. Dari luar, Pluto kelihatan seperti
sebiji bola yang diseliputi ais.
Menghampiri matahari, kita akan bertemu pula dengan Neptun. Planet ini
juga sejuk; suhu permukaannya adalah sekitar -218°C. Atmosferanya mengandungi
gas-gas yang beracun kepada manusia. Di samping itu, ribut-ribut menakutkan
mencapai 2,000 kilometer (1,250 batu) per jam berlaku di permukaannya.
Bergerak sedikit ke arah matahari, di tengah-tengah bulatan, kita bertemu
dengan Uranus. Uranus adalah planet ketiga terbesar di dalam Sistem Suria.
Suhu atmosferanya ialah -214°C, bererti planet ini cukup sejuk untuk membekukan
kita semua dalam masa sesaat. Atmosferanya mengandungi gas-gas beracun
yang sama sekali tidak menyokong hidupan.
Jika kita meneruskan perjalanan kita ke arah matahari, kita akan bertemu
pula dengan Zuhal. Planet ini, yang merupakan planet kedua terbesar di
dalam Sistem Suria, dikenali dengan sistem gegelang yang mengelilinginya.
Gegelang ini diperbuat daripada gas-gas, batu-batu dan ais. Suhu di planet
ini juga tidak sesuai untuk hidupan: -178°C.
Apabila kita semakin merapati matahari, kita akan berjumpa dengan Musytari,
planet terbesar di dalam Sistem Suria. Musytari adalah 11 kali lebih besar
daripada Bumi. Keadaan di planet ini juga tidak sesuai untuk hidup, dan
ia terlalu sejuk.
Selepas Musytari ialah Marikh. Marikh adalah sebuah planet mati yang
tidak sama dengan Bumi. Marikh tidak mempunyai sebarang hidupan. Ini berpunca
daripada beberapa sebab: Pertama, atmosfera Marikh adalah campuran beracun
mengandungi karbon dioksida pekat. Kedua, tiada air di planet ini. Ketiga,
suhu Marikh ialah -53°C. Akhir sekali, terdapat angin kuat dan ribut pasir
di Marikh yang berlaku selama berbulan-bulan.
Planet biru yang muncul di hadapan kita selepas Marikh ialah Bumi kita.
Kami akan memberikan perhatian terhadap planet kita Bumi ini pada bab
terakhir nanti. Sementara itu, kami ingatkan kamu satu fakta: Bumi kita
adalah satu-satunya planet yang membenarkan organisma hidup.
Terus mara ke arah matahari, pencarian kita membawa kita kepada sebuah
planet yang dinamakan Zuharah. Zuharah adalah objek angkasa paling terang
selepas matahari dan bulan. Oleh itu, manusia telah mengenalinya semenjak
berzaman dahulu. Walaupun semua planet sejauh Zuhal telah dikenali manusia
sejak dahulu, tetapi Zuharah kelihatan lebih terang dan jelas sama ada
di langit waktu pagi atau petang. Tidak seperti planet-planet lain, Zuharah
sangat panas. Suhu permukaannya ialah 450°C, yang cukup untuk meleburkan
timah. Ciri-ciri lain Zuharah ialah atmosfera beratnya yang terdiri daripada
satu lapisan karbon dioksida pekat. Di samping itu, atmosfera Zuharah
juga mengandungi lapisan asid beberapa kilometer dalam. Tidak ada organisma
yang dapat hidup di tempat seperti ini walau sesaat.
Selepas Zuharah, kita sampai pula ke Utarid, planet paling hampir dengan
matahari. Putarannya menjadi perlahan oleh kedudukannya yang hampir dengan
matahari sehinggakan ia hanya melakukan tiga putaran apabila ia mengelilingi
matahari dua kali. Kerana itu satu bahagian planet ini sangat panas sementara
sebahagian yang lain pula terlalu sejuk. Perbezaan di antara bahagian
siang dan malam di Utarid ini ialah 1,000°C. Sudah tentu keadaan seperti
ini tidak menyokong hidupan.
Pencarian kita setakat ini telah mendedahkan bahawa selain Bumi, tidak
satu pun planet-planet di dalam Sistem Suria ini memberikan apa yang diperlukan
untuk hidup. Semuanya tidak berpenghuni dan kosong. Bagaimanapun, dunia
kita adalah sebuah planet yang menghasilkan semua keperluan untuk hidup.
Dengan hutan hijau dan lautan birunya, ia kelihatan cantik dari angkasa.
Angkasawan pertama ke bulan terperanjat dengan warna-warni dan cahaya
bumi.
Objek-objek Angkasa Lain
Objek-objek angkasa lain di dalam Sistem Suria ini ialah komet, asteroid
dan meteor. Ia adalah objek-objek angkasa yang berbaki daripada letupan
nebula di mana Sistem Suria terbentuk empat ke enam bilion tahun dahulu.
Sebuah komet
|
- Komet terdiri daripada gas-gas pekat dan debu. Kadangkala, orbit-orbit
mereka membawa mereka menghampiri matahari. Apabila menghampiri matahari,
permukaan bintang-bintang mula mengewap disebabkan oleh kepanasan. Pengewapan
ini menghasilkan cahaya terang. Sebiji bola gas dan debu muncul di sekeliling
nukleus. Bola gas dan debu ini dikenali sebagai "coma". Terdapat juga
ekor gas dan debu yang mengikut coma ini.
- Meteor adalah objek-objek batu di angkasa. Selalunya, ia dapat dilihat
di antara orbit Marikh dan Musytari. Dalam beberapa keadaan, diameter
meteor ini boleh mencapai sebesar 1,000 kilometer (620 batu).
- Meteorit (tahi bintang) adalah ketulan-ketulan yang jatuh ke Bumi
daripada angkasa. Ketulan-ketulan batu, atau campuran batu dan besi
yang terpisah daripada meteor dan komet. Kadangkala, apabila Bumi melalui
awan debu sisa daripada sebuah komet, sebagai contoh, objek-objek di
dalam awan debu ini terbakar di dalam atmosfera. Ia terbakar apabila
memasuki atmosfera Bumi dan meninggalkan sejalur cahaya nipis di langit.
Ia dikenali sebagai meteor. Kadangkala, jika ia tidak terbakar dengan
sempurna, meteor-meteor ini melanggar Bumi. Meteor-meteor yang sampai
ke Bumi ini dikenali sebagai aerolit atau meteorit.
Meteorit adalah meteor-meteor yang sampai
ke permukaan Bumi
|
Perhatikan satu fakta penting di sini: Meteor-meteor yang sampai ke atmosfera
selalunya jatuh ke Bumi. Apabila ia jatuh, kerosakan yang dilakukannya
adalah berdasarkan kepada saiz mereka. Bumi kita sentiasa terdedah kepada
ancaman ini, tetapi Allah telah menjadikan objek-objek angkasa ini sedemikian
rupa sehingga ia akan terbakar dan musnah di dalam atmosfera dan dengan
itu ia tidak membahayakan kita. Ini menunjukkan rahmat dan kasih Allah
kepada kita seperti juga dengan perlindungan yang diberikan-Nya kepada
kita.
Mungkin sekarang kamu sudah menyedari bahawa Allah mengawal semua objek-objek
angkasa, sama ada besar atau kecil, dan mentadbir mereka semua setiap
masa di dalam keadaan yang teratur dan tersusun.
|