Penciptaan Alam Semesta
Pernahkah kamu terfikir bagaimana cakerawala yang tidak berpenghujung
ini terbentuk? Bagaimana Bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang yang
hebat ini dapat muncul? Tahukah kamu alam ini dipenuhi dengan berbagai
benda menarik termasuk juga Bumi, bulan dan matahari? Tahukah kamu bahawa
keseimbangan halus wujud di alam ini yang memberikan keadaan yang baik
untuk hidup?
Sekarang mari kita mula pelajari jawapan-jawapan kepada soalan-soalan
ini, dan bagaimana Allah menjadikan alam ini.
Suatu Masa Dahulu Alam Ini Tidak Wujud!
Pada zaman dahulu, pengetahuan manusia tentang angkasa amat terbatas.
Peralatan-peralatan yang diperlukan untuk meneroka angkasa masih belum
cukup maju seperti sekarang. Oleh itu, kadangkala manusia mempunyai pendapat-pendapat
aneh tentang bagaimana alam ini terbentuk. Pendapat yang menyatakan alam
ini telah sedia ada, merupakan pendapat paling lucu. Sebelum manusia mempunyai
teleskop dan peralatan untuk mengkaji langit, beberapa orang dungu mencadangkan
alam ini tidak mempunyai permulaan tetapi telah sedia wujud dan akan terus
wujud untuk selama-lamanya.
Bagaimanapun, ia tidak masuk akal! Rumah dan bangunan sekolah kamu telah
dibina pada tarikh tertentu. Malah ayat-ayat yang kamu baca sekarang ini
juga telah ditulis pada waktu tertentu. Begitu juga kamu, ibu dan bapa
kamu juga mempunyai tarikh lahir. Ini bererti semua benda sama ada bernyawa
atau tidak wujud pada waktu tertentu. Menyatakan, "Alam ini tidak mempunyai
tarikh lahir, kerana ia telah sedia wujud", adalah mengarut. Tiada siapa
yang akan mempercayainya kini.
Biar kami berikan satu contoh: di dalam perjalanan kamu ke sekolah, bayangkan
kamu melalui jalan yang berbeza dan telah menemui sebuah patung. Apa yang
akan kamu fikirkan? Sudah tentu kamu akan berfikir, "Seorang pemahat telah
menghasilkan patung ini dan meletakkannya di sini", bukankah begitu? Bagaimana
sekiranya seorang rakan kamu menyatakan, "Tidak, patung ini telah sedia
ada di sini; tiada siapa mengukirnya"? Mungkin kamu akan berkata kepadanya,
"Jangan mengarutlah! Setiap kerja seni mempunyai pembuatnya!", bukankah
begitu?
Kenyataan bahawa terdapat seorang pengukir
yang telah mereka dan menjadikan patung ini, mengingatkan kita bahawa
sudah tentu terdapat seorang pencipta yang menjadikan kita, dan
tiada apa pun dapat berlaku secara spontan.
|
Mereka yang mendakwa alam ini telah sedia wujud mempunyai pemikiran lebih
mengarut daripada rakan kamu yang mendakwa patung tersebut telah sedia
ada di situ. Patung hanyalah sebiji batu yang dipahat, tetapi cakerawala
ini mengandungi banyak bintang-bintang di langit dan sistem-sistem yang
lebih rumit dan sukar daripada sebiji batu.
Terima kasih kepada penemuan astronomi, kesilapan dakwaan alam ini telah
sedia wujud sudah menjadi nyata. Kajian ini menunjukkan bahawa seperti
mana benda-benda lain, alam ini juga mempunyai permulaan.
Manusia pertama yang membuktikan alam ini mempunyai permulaan ialah pakar
astronomi Edwin Hubble. (pakar astronomi ialah mereka yang mengkaji angkasa,
bintang-bintang dan galaksi-galaksi). Hubble bekerja dengan sebuah teleskop
gergasi. Suatu hari, pada tahun 1929, beliau mendapati bintang-bintang
bergerak.
Ia bukan gerakan rawak biasa. Bintang-bintang sedang bergerak menjauhi
kita secara berterusan. Di samping itu, ia juga bergerak daripada satu
sama lain. Sebuah cakerawala yang semua benda bergerak daripada benda-benda
lain bererti cakerawala tersebut sedang membesar.
Hanya seratus tahun dahulu manusia mula mengetahuinya. Hari ini, semua
ahli sains bersetuju bahawa bintang-bintang bergerak daripada satu sama
lain begitu juga dengan Bumi.
Pergerakan bintang-bintang ini adalah satu maklumat penting tentang penciptaan
alam ini. Fakta bahawa bintang-bintang ini bergerak menjauhi satu sama
lain, membuktikan bahawa suatu masa dahulu mereka bercantum. Ahli sains
menganggarkan 15 bilion tahun dahulu semua jirim di cakerawala ini berkumpul
bersama di dalam satu titik sekecil hujung jarum. Cakerawala kita mula
terbentuk apabila titik kecil ini meletup.
Sekarang mari kita senaraikan satu-persatu apa yang telah kita perhatikan:
- Bintang-bintang bergerak secara berterusan;
- Bintang-bintang bergerak menjauhi kita;
- Jika masa dapat diundurkan, kita akan melihat bintang- bintang kembali
bercantum.
Ia akan berterusan sehinggalah seluruh cakerawala ini bercantum kembali
pada satu titik.
Jika kita pergi lebih jauh, titik ini juga akan hilang. Ini bererti alam
ini wujud daripada ketiadaan: Allah telah menjadikannya.
Kamu akan dapat memahami apa yang dimaksudkan dengan "ketiadaan" dengan
menjawab tiga soalan ringkas ini:
1. Berapa usia kamu setahun dahulu?
Kamu mungkin menjawab, "Setahun lebih muda".
2. Jika kamu menghitung usia kamu ke belakang tahun demi tahun, berapakah
usia terakhir kamu?
Jawapan kamu mungkin "satu". Setahun selepas kelahiran kamu, kamu berusia
setahun. Bagaimanapun, selepas kelahiran kamu belum cukup tua untuk mempunyai
umur. Ini dapat menjelaskan "usia sifar".
3. Fikirkan tentang tahun sebelum hari jadi kamu yang pertama! Berapakah
umur kamu? Di manakah kamu ketika itu?
Kamu mungkin menjawab dengan berkata, "Saya belum wujud ketika itu".
Kamu tidak wujud sebelum ibu kamu mengandung.
Jika kamu undurkan masa untuk tubuh kamu, kamu akan dapati tubuh kamu
akan hilang pada akhir operasi ini. Setiap tahun apabila masa berundur,
tubuh kamu akan menjadi makin kecil dan kecil, sehingga kamu menjadi seorang
bayi di dalam rahim ibu kamu. Jika operasi ini diteruskan, kamu akan sampai
pada ketika ibu kamu belum mengandung.
Jika kita dapat mengembara kembali ke
masa silam, gambar-gambar kamu ini akan tersusun dalam kedudukan
yang berlawanan sehingga pada saat kamu tidak wujud.
|
Alam ini tidak wujud sebelum Allah menciptanya. Apabila kita mengundurkan
masa, cakerawala ini juga akan menjadi lebih muda. Ia menjadi semakin
kecil sehingga menjadi satu titik dan akhirnya hilang. Semua ini membuktikan
cakerawala ini telah "dicipta".
Sementara itu, ingatkan diri kita bahawa kita menggunakan perkataan "mencipta/menjadikan"
apabila kita hendak menerangkan sesuatu didatangkan daripada ketiadaan.
Hanya Allah dapat mewujudkan sesuatu daripada ketiadaan. Dengan kata lain,
hanya Allah dapat "mencipta" sesuatu. Manusia juga dapat menghasilkan
sesuatu yang tidak wujud sebelum ini. Contohnya, mereka boleh membuat
lukisan. Mereka dapat membina kapal-kapal. Bagaimanapun, sebenarnya, manusia
hanya dapat menghasilkan sesuatu dengan menggunakan bahan-bahan yang terdapat
di dunia ini dan dengan meniru benda-benda yang telah sedia wujud di dunia
ini. Oleh itu, kita tidak boleh menamakannya "ciptaan". Ciptaan ialah
menghasilkan sesuatu tanpa sebarang contoh ikutan. Allah telah mencipta
segalanya di alam ini, termasuk Bumi, daripada ketiadaan.

Bolehkah kamu melukis sesuatu
yang belum pernah kamu saksikan? Ini mustahil, kerana hanya Allah
sahaja yang dapat mencipta sesuatu tanpa contoh dahulu. Sedangkan
benda-benda yang para artis hasilkan daripada otak mereka sebenarnya
berasal daripada benda-benda yang telah mereka lihat.
|
Manusia meniru apa yang telah Allah cipta, seperti apabila membuat lukisan.
Jika kamu diminta melukiskan satu landskap di atas sekeping kertas, apa
yang akan kamu lukis? Sudah tentu kamu akan melukis matahari, sebuah gunung,
beberapa batang pokok, sejalur pelangi dan laut. Tetapi, pernahkah kamu
fikirkan bahawa mustahil kamu dapat melukis sebatang pokok sekiranya kamu
tidak pernah melihatnya? Fikirkan seorang yang buta sejak lahir. Di hanya
mengetahui matahari bulat dan bercahaya, apabila ada orang yang menggambarkannya
kepadanya. Dia hanya akan tahu apabila dia melihatnya sendiri.
Adik-adik! Apa yang ditunjukkan oleh contoh-contoh ini, ialah hanya Allah
mempunyai kuasa untuk mencipta sesuatu tanpa contoh. Al-Quran, kitab Allah
yang diturunkan kepada manusia sebagai panduan, memberitahu kita seperti
berikut:
(Dia lah) yang menciptakan langit dan Bumi… (Surah Al-An'am:101)
Sekarang masanya untuk mempelajari bagaimana Allah mencipta alam ini.
Pasti kamu tertanya-tanya betapa hebatnya peristiwa yang telah berlaku.
'Big Bang' dan Letupan Cakerawala
Tahukah kamu berjuta-juta tahun dahulu cakerawala ini hanya satu titik
kecil. Sekarang masanya untuk belajar bagaimana titik kecil ini berkembang.
Kamu mungkin pernah melihat filem kartun di TV. Selalunya, musuh akan
mengejar hero filem tersebut dan hero akan melakukan apa sahaja untuk
melarikan diri. Salah satu benda yang sering digunakan ialah dinamit.
Contohnya, musuh Bugs Bunny meletakkan dinamit di rumahnya, atau musuh
Road Runner meletakkan dinamit di jalannya. Selalunya, musuh-musuh ini
berjaya melarikan diri dengan kemahiran yang hebat.
Sekarang, cuba bayangkan salah satu letupan ini. Contohnya, pemburu yang
mengejar Bugs Bunny meletakkan bahan letupan ke dalam rumah bawah tanahnya.
Apa berlaku apabila ia meletup? Tanah berselerakan dan serpihannya bergerak
daripada satu sama lain. Sebelum letupan tersebut, serpihan-serpihan tanah
ini bercantum. Tetapi, selepas letupan, serpihan-serpihan kecil tanah
berselerak di merata tempat dan bergerak daripada satu sama lain.
Berjuta-juta tahun dahulu, cakerawala ini wujud selepas sebuah letupan.
Banyak serpihan wujud dengan letupan ini. Serpihan-serpihan ini bergerak
dan berselerak ke merata tempat, sama seperti tanah yang berselerak. Kemudian
mereka mula membentuk cakerawala dan planet-planet dan lain-lain.
Letupan ini, yang menjadi permulaan kepada penciptaan cakerawala ini
oleh Allah, telah dinamakan sebagai 'Big Bang'. Ketika letupan hebat ini
berlaku, alam ini mula membesar dan berkembang, dan ia masih berkembang
hari ini.
Sebelum meneruskan ke bahagian lain, mari kita senaraikan beberapa fakta
yang telah kita buat sebelum ini:
1. Dahulu, alam ini tidak wujud;
2. Alam ini wujud dengan letupan satu titik kecil;
3. Selepas letupan ini, sejumlah besar unsur mula terbentuk yang menjadikan
alam ini, dan unsur-unsur ini mula bergerak menjauhi satu sama lain;
4. Cakerawala ini berkembang apabila objek-objek di dalamnya bergerak
daripada satu sama lain.
Ini adalah tanda kekuasaan Allah yang tidak terbatas. Sekalipun seluruh
manusia di Bumi ini bergabung, mereka tidak akan dapat meniru cakerawala
ini. Walaupun semua bahan-bahan di dunia ini dikumpulkan, manusia masih
gagal meniru letupan sebesar 'Big Bang'. Semua kekuatan hanya milik Allah,
Yang menjadikan segalanya. Setelah membaca bahagian berikutnya kamu akan
lebih memahami kekuasaan tidak terbatas Allah dan kebijaksanaan-Nya.
Aturan Yang Terhasil Daripada Sebuah Letupan
Adik-adik, seperti yang kamu bayangkan, tidak ada letupan yang dapat
membentuk satu struktur tersusun. Sebaliknya, letupan memusnahkan susunan
yang ada. Ia merosakkan apa sahaja yang berada di sekitarnya. Satu bahan
letupan berkuasa tinggi dapat meranapkan sebuah bangunan. Bom paling berkuasa
di dunia ialah bom atom. Apabila dilepaskan, bom ini memusnahkan semua
benda di dalam sasarannya, di dalam beberapa kejadian, beberapa bandar.
Satu letupan bom akan menghancurkan
apa sahaja yang berada berhampiran dengannya. Selepas satu letupan,
tidak ada satu pun struktur sempurna terbentuk secara tidak sengaja.
|
'Big Bang' menghasilkan letupan yang berbilion kali ganda bom atom. Tetapi
'Big Bang' sebaliknya memberikan kesan berlainan dan membentuk sebuah
dunia sempurna yang tersusun. Dunia yang kita kenali, yang telah direka
dengan teliti untuk memenuhi keperluan kita, wujud selepas letupan ini.
Bagaimana 'Big Bang' menghasilkan aturan yang begitu sempurna?
Allah mencipta cakerawala ini daripada tiada melalui letupan 'Big Bang'.
Jelaslah, Allah juga membuat aturan sempurna di dalam alam ini.
Sebarang jawapan selain daripada yang di atas adalah salah. Contohnya,
menyatakan aturan ini wujud secara kebetulan selepas letupan adalah tidak
logik. Biar kita buat satu persamaan untuk menjelaskannya dengan lebih
baik:
Istana pasir di dalam gambar ini tidak
mungkin terbentuk secara kebetulan selepas satu letupan. Begitu
juga, selepas Big Bang, planet Bumi kita bersama semua hidupan tidak
dapat muncul dengan sendirinya, tanpa campur tangan Allah.
|
Apa akan berlaku kepada pasir-pasir jika sebuah bom dilemparkan di pantai?
Sudah tentu pasir-pasir ini akan berselerakan ke merata tempat, bukankah
begitu? Bagaimana jika seseorang menyatakan sebuah istana pasir telah
terbentuk disebabkan satu letupan di pantai? Kamu mungkin berpendapat
dia gila atau berbohong. Begitu juga, mereka yang mendakwa bahawa aturan
di alam ini terjadi dengan sendirinya, adalah gila. Terdapat sejumlah
perincian, contoh-contoh keseimbangan dan susunan sempurna di dalam alam
gergasi ini, yang lebih kompleks jika dibandingkan dengan sebuah istana
pasir.
Kesimpulannya, aturan sempurna di dalam alam ini membuktikan bahawa ia
tidak datang dengan sendirinya. Setiap aturan dan keseimbangan yang wujud
di dalam alam ini adalah petanda kebijaksanaan Allah yang tidak terbatas.
Maklumat Yang Al-Quran Berikan Tentang Alam Semesta Ini
Al-Quran adalah kitab suci Allah yang diturunkan kepada manusia. Ia memberikan
maklumat-maklumat paling teliti di dalam semua isu. Kerana setiap ayat
Al-Quran adalah Kalam Allah Yang Maha Kuasa. Tetapi, zaman ketika Al-Quran
diturunkan, sains dan teknologi tidak secanggih hari ini. Oleh itu, tiada
siapa dapat menjalankan kajian tentang maklumat-maklumat yang ada di dalam
Al-Quran. Bagaimanapun, hari ini, terdapat kemajuan yang hebat di dalam
sains dan teknologi. Hampir semua perkembangan di dalam sains adalah selaras
dengan maklumat-maklumat yang Al-Quran berikan. Contohnya, Al-Quran memberitahu
kita langit dan Bumi asalnya bersatu, tetapi Allah telah memisahkannya.
Di dalam Al-Quran, fakta saintifik ini digambarkan seperti berikut:
Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai
bahawa sesungguhnya langit dan Bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai
benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? … (Surah Al-Anbiyaa':30)
Mari kita kaji ayat ini bersama:
- Perkataan langit bererti semua yang berada di angkasa.
- Kenyataan "langit dan Bumi itu pada asal mulanya
bercantum", menggambarkan semua benda di cakerawala ini asalnya
bercantum.
Akhirnya, kenyataan, "Kami pisahkan antara keduanya",
menunjukkan bahawa cakerawala ini telah berpecah menjadi serpihan-serpihan
disebabkan oleh letupan tersebut.
Contoh ini membuktikan dua fakta penting:
- Al-Quran adalah kitab yang diturunkan Allah,
- Maklumat yang diberikan Al-Quran adalah maklumat yang paling tepat.
Kerana Allah, Pencipta seluruh alam ini, telah menurunkan Al-Quran,
sudah tentu Dia mengetahui apa yang telah dijadikan-Nya.
Di dalam bab ini, kita melihat Allah mencipta seluruh alam ini daripada
ketiadaan. Sekarang mari kita mulakan satu perjalanan melalui cakerawala
ini, yang menunjukkan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah.
|