Bulan Ramadhan benar-benar memberikan pulangan yang besar dan
ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat. Ditamsilkan juga seperti tanah
yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke sana. Perbuatan yang hidup
dan cergas di dalam bulan ini dikiaskan seperti hujan April yang turun
pada musim bunga. Bulan ini juga merupakan festival yang amat mulia
bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada tuhannya. (The Risale-i
Nur Collection, Letters, The Twenty-Ninth Letter).
Seperti yang diungkapkan Bediuzzaman Said Nursi kepada kita melalui kalimat
yang indah ini, bulan Ramadhan mempunyai kuasa suci bagi perayaan umat
Islam. Umat Islam yang bertakwa dan hidupnya sentiasa mencari keredhaan
Allah tidak akan mengabaikan kewajipannya untuk berpuasa sepanjang bulan
ini dengan penuh semangat dan keghairahan.
Puasa, seperti yang diwajibkan Allah "Hai
orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan
atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah:
183) dan "...berpuasa lebih baik bagimu jika
kamu mengetahui" (Surah al-Baqarah: 184) merupakan tugas yang
tidak ternilai faedahnya bagi umat Islam. Kewajipan yang dilaksanakan
oleh semua umat Islam akan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan
mereka yang bertebaran di serata alam. Kenyataan ini berdasarkan dengan
aktiviti yang dilakukan bersama-sama ini sekaligus menguatkan kekuatan
spiritual. Nabi Muhammad s.a.w. juga memperincikan kepentingan Ramadhan
seperti berikut:
"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia,
bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari
dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah
dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran
seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran
dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan
dimana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).
Berpuasa menjadi peluang keemasan bagi orang beriman yang benar-benar
takutkan Allah dan kesempatan dimanfaatkan untuk mendekatkan diri pada-Nya.
Melaksanakan perintahnya dengan bersabar menahan lapar sepanjang hari
selepas melewatkan sahur dan sebelum menyegerakan berbuka menjadi bukti
menuntut keredhaan Allah. Disebabkan itulah, orang Islam yang istiqomah
mencari keredhaan Allah akan meraikan bulan ini dengan penuh kesyukuran
dan kegembiraan. Sepanjang bulan ini juga umat Islam akan memastikan setiap
langkahnya dipenuhi dengan amalan-amalan yang diturunkan Allah selain
menunaikan yang diwajibkan.
Tidak kurang juga mereka yang tidak mengamalkan hidup secara Islami di
hari lain akan mengubah perilaku dengan berpuasa sepanjang Ramadhan. Ini
kerana mereka percaya Allah akan membersihkan dan menyucikan kesalahan
mereka dengan menunaikan kewajipan ini. Dengan itu, secara tidak langsung
bulan ini bermakna seseorang itu akan mendekati agamanya dan meninggalkan
perbuatan buruk yang dilakukannya.
Bulan ini juga sesungguhnya telah menurunkan kadar jenayah dengan peratusan
yang tinggi di seluruh negara Islam. Penipuan, pengkhianatan, fitnah dan
umpat mengumpat akan ditinggalkan kerana mereka menyedari akan larangan
ketika berpuasa. Semangat dan keazaman mereka untuk berfikir dan melakukan
perbuatan baik juga meningkat. Dalam erti kata lain, berpuasa seperti
memandu mereka untuk berfikir sesuatu yang tidak pernah terlintas langsung
di minda mereka. Bagi sesetengah individu pula, bulan ini digunakan untuk
berehat sambil melakukan amal yang soleh dan perbuatan mulia.
Di dalam kalimat yang lain, Bediuzzaman Said Nursi menerangkan bagaimana
semua pancaindera orang berpuasa beralih arah dalam pengabdian:
Kejayaan yang bermakna ketika berpuasa ialah dengan menjadikan
semua pancaindera dan organ seperti mata, telinga, hati, dan fikiran
turut sama berpuasa bersama-sama perut. Dengan ini akan mengelakkannya
dari melakukan perkara yang sia-sia dan mendorongnya melakukan amalan
pengabdian.
Salah satu hikmah dari berpuasa ialah membolehkan seseorang itu menzahirkan
kesyukuran di atas segala rahmat yang Allah limpahkan. Musibatlah bagi
mereka yang menggunakan sewenangnya rahmat Allah tetapi tidak tahu untuk
berterima kasih pada yang memberi. Bagi mereka semua rahmat ini merupakan
hak yang memang patut diterimanya. Allah banyak menyarankan kepada hamba-Nya
di dalam Al-Quran supaya sentiasa bersyukur di atas rahmat yang dikurnai-Nya.
Allah juga berjanji akan melipatgandakan rahmat bagi mereka yang bersyukur.
Orang yang berpuasa juga akan dilindungi Allah dari segala hasutan syaitan
untuk melupakan manusia dari bersyukur. Mereka yang tidak pernah merenung
untuk berfikir berapa banyak kurniaan yang telah Allah turunkan akan mula
mengucapkan syukur berulang kali di atas segala peluang dan kesihatan
yang dikecapinya. Bediuzzaman Said Nursi megatakan bahawa berpuasa di
bulan Ramadhan adalah "kunci kepada kebenaran, keikhlasan,
kemuncak dan kesejagatan syukur".
Tambahan pula, mereka yang berpuasa akan merasai betapa kerdilnya dirinya
di hadapan Allah dan memahami betapa perlunya dirinya kepada Allah. Segala
desakan nafsunya menjadi lemah dan kesombongannya bertukar luntur. Memetik
dari buku Bediuzzaman Said Nursi:
Bulan Ramadhan akan mengubah jiwa naluri seseorang. Dari sekaya-kaya
menjadi semiskin-miskin kerana memahami bahawa harta itu bukan miliknya
malah kepunyaan semua orang. Dirasakan juga dirinya tidaklah merdeka
tetapi adalah hamba. Diketahui sekiranya tidak diterima sebarang arahan,
tidak akan berupaya melakukan sebarang kerja mudah dan senang ibarat
tidak dapat menyentuhkan tangan ke dalam air.
Selain pelbagai faedah yang diperolehi dari berpuasa, kesabaran juga
antara karakter yang boleh dipupuk dan meyakini kesengsaraan itu mendidik
untuk memajukan seseorang. Sebab itulah Bediuzzaman Said Nursi mengatakan:
"puasa itu merupakan penawar bagi mereka yang kurang kesabaran dan
kurang ketahanan walaupun digabungkan masalah dua orang dalam satu individu".
Semua ganjaran yang Allah janjikan akan dikurniakan bagi mereka yang memenuhi
kewajipan dengan berpuasa untuk meningkatkan keimanan kepada-Nya. Semua
ganjaran ini merupakan balasan di atas ketaatan kepada agama yang dilakukan
dengan penuh semangat walaupun orang lain tidak tahu betapa payahnya ketika
berhadapan dengan kelaparan ini.Apa yang dijelaskan tidaklah merangkumi
semua faedah yang diperolehi dari bulan Ramadhan dan puasa. Ada banyak
lagi kebaikan yang tidak kita ketahui atau tidak dihargai tetapi Allah
tetap mengurniakannya pada kita di sebalik kewajipan puasa itu.
|